Niat Hendak Buat Laporan Polis Kerana Ditipu Dalam Pembelian Online, Akhirnya Dia Sendiri Ditahan Polis


Pada 20 oktober 2020 (Selasa) Jam 3.20 petang, sepasukan polis dari Balai Damansara telah menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 21 tahun di perkarangan Balai Polis Damansara kerana memakai gelang berwarna putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Siasatan awal mendapati lelaki ini datang ke Balai Polis Damansara kerana ingin membuat laporan polis berkenaan telefon bimbitnya yang baru sahaja dibeli melalui atas talian kerana tidak sepertimana yang dilihat di dalam iklan yang dipaparkan sebelum pembelian dibuat. Semasa sedang membuat laporan polis, lelaki tersebut mengaku masih menjalani tempoh kuarantin KKM dan telah menyembunyikan gelang kuarantin tersebut di bahagian atas lengan kirinya.

Lelaki ini telah ditahan dan diberi jaminan polis pada hari ini. Kes disiasat di bawah seksyen 269 kanun keseksaan lerana dengan cuai telah menyebabkan merebaknya jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia supaya menjalani karantin sebagaimana peruntukan di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalam Penyakit Berjangkit 1988. Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak boleh sampai (2) tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya.

Polis Daerah Petaling Jaya memberi amaran kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin agar patuh kepada arahan yang diarahkan oleh pejabat kesihatan daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia. IPD Petaling Jaya akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi sop PKPP. Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang gagal mematuhinya dan enggan memberikan kerjasama. 

Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya

Post a Comment

0 Comments