Abah Diangkat Sebagai Tokoh Politik Berprinsip | Perjuangan menentang ahli politik kelptokrat

 


KEPIMPINAN “ABAH” - LILIN YANG MEMBAKAR DIRI 


Dengan pengesahan daripada Istana Negara sebentar tadi, maka berakhirlah amanah dan tanggungjawab YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. Saya tahu ramai ahli-ahli BERSATU yang berasa sedih, kecewa kerana kita sayangkan Presiden kita tetapi saya ingin peringatkan kepada semua ahli khususnya ARMADA: jangan bersedih, berbanggalah!


Kenapa kita perlu bersedih sedangkan Tan Sri Presiden sendiri yang paling awal menurunkan sokongan kepada YAB Dato’ Seri Ismail Sabri, untuk menjadi pengganti beliau! 


Sebagai ahli BERSATU, kita patut berbangga kerana Tan Sri Presiden telah menunjukkan contoh yang cemerlang selaku pemimpin Melayu yang tersohor: berkorban demi menolak mafsadah yang lebih besar (perpecahan politik Melayu; “political impasse” yang melumpuhkan kerajaan) untuk menjaga nyawa dan kehidupan rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.


Bukankah ini bersesuaian dengan prinsip Syari’ah: dar'u al-mafāsid muqaddamun 'alā jalbi al-mashālih (mencegah kerosakan/bahaya didahulukan daripada mengambil kemaslahatan). Bayangkan kalau kita pertahankan ego dan ‘asabiyah kepartian kita, apa jadi kepada kesatuan yang kita bina bersama semua rakan-rakan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini? Jangan marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar! Akhirnya menang sorak, kampung tergadai persis pembangkang yang bercempera kerana masing-masing tak mahu mengalah untuk menjadi calon Perdana Menteri!


Sepanjang 18 bulan berkhidmat di bawah kepimpinan beliau dalam BERSATU dan kerajaan, saya menjadi salah seorang saksi bagaimana Tan Sri amat istiqamah dalam membuat pertimbangan politik demi menjaga maslahah rakyat dan negara. Beliau berdepan dengan cabaran COVID19 dan krisis politik yang datang dari luar dan dalam. Biarpun berdepan badai politik yang tidak pernah surut, beliau tetap tidak berkompromi mahupun melenturkan prinsip demi mengekalkan kuasa dan jawatan Perdana Menteri. 


Kita telah berkorban bukan sedikit - Johor, Melaka dan Perak - tapi tetap tindakan-tindakan politik yang dibuat oleh Tan Sri kekal sama dan istiqamah dalam memelihara integriti kerajaan dan kestabilan politik. Tiada politik membalas dendam (political vendetta) kerana kita faham norma politik baru di Malaysia adalah berasaskan muafakat koalisi yang perlu bertolak ansur demi kestabilan negara. 


Pengorbanan yang dibuat oleh Tan Sri bukan baru sekali ini. Kita tidak akan sesekali lupa perjuangan dan pengorbanan beliau dalam isu 1MDB yang menyaksikan beliau tetap teguh memegang prinsip sehingga dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Saya masih ingat, ketika beliau dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai yang berada disisi beliau. Tapi beliau tetap teguh berdiri dan berjuang sampailah sudah tiada jalan lain dan terbuang secara “unconstitutional”. Beliau tidak mengalah kerana tahu rakyat menilai. Maka tertubuhlah BERSATU sebagai wadah perjuangan baru.


Undur selangkah, bukan bermakna kita mengalah. Undur selangkah demi menjaga maslahah rakyat, negara dan kesatuan Ummah. Inilah pemimpin yang cakap serupa bikin: persis lilin yang membakar diri.


Ingatlah, jatuh-bangun pemimpin tetap di tangan Allah SWT. Sebagai manusia kita buat sehabis baik dalam menunaikan amanah yang berat. Tetaplah ARMADA sekalian kekal “BERSATU, BERAMANAH, dan BERMARUAH” seperti yang ditunjukkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU). 


Terima kasih Abah! Terima kasih atas segala jasa sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia! ARMADA Bersatu Malaysia kekal teguh bersama Tan Sri Presiden! 


- Wan Ahmad Fayhsal

Ketua ARMADA BERSATU Malaysia  

Post a Comment

0 Comments