Lelaki dibelit dan dimakan ular sawa di Segamat

 



Kira-kira jam 8 malam pada 4 September 1995, seorang pemuda bernama E Heng Chuan berusia 29 tahun  berjalan menuju ke bangsal berhampiran rumahnya di Pekan Tenang Stesen, dekat Segamat Johor untuk menutup suis generator air kolam yang hanya 200 meter dari rumahnya. 


Tiada siapa yang menyangka itulah perjalanan terakhir Heng Chuan, sebelum beliau menemui ajal dengan cara yang cukup tragis iaitu ditelan ular sawa seberat 140 kilogram.



Cukup mengerikan dan kejadian itu menggemparkan seluruh negara bahkan dianggap peristiwa hitam paling menakutkan sepanjang 1995.


Laporan tragedi


Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan, ketika ditemui kira-kira jam 10.30 malam mangsa sudah ma.ti dengan kepala hingga sebahagian badannya ditelan oleh ular sawa berkenaan. Dipercayai ular itu hanya berjaya menelan kepala dan sebahagian badan Heng Chuan sahaja kerana tersangkut pada bahu pemuda berkenaan.


Ular sawa itu dipercayai berada berhampiran bangsal berkenaan sebelum menyerang Heng Chuan dengan mematuk dan membelit badannya sebelum bertindak menelannya. Berdasarkan keadaan semak yang bertukar menjadi kawasan lapang kemungkinan berlaku pergelutan agak lama sebelum mangsa ma.ti. 


Hakikat itu memang logik kerana kejadian berkenaan hanya disedari abang mangsa bernama E Seng Guan berusia 32 tahun yang keluar mencarinya adiknya apabila tidak pulang ke rumah kira-kira 30 minit selepas keluar untuk menutup suis generator terbabit. Seng Guan mencari adiknya di kawasan itu pada jam 8.30 malam tetapi gagal menemuinya.



Berasa sesuatu yang buruk telah terjadi kepada adiknya, Seng Guan telah memeriksa sekitar bangsal tersebut ketika sampai ke situ untuk kali kedua Seng Guan menemui seekor ular sawa sedang membelit dan cuba menelan adiknya dari bahagian kepala tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut.


Lantas dia kemudian bergegas pulang ke rumah dan memberitahu ibunya bernama Lim See Mek berusia 51 tahun. Mereka kemudian bergegas melaporkan kejadian dahsyat itu ke Pondok Polis Tenang Stesen untuk meminta bantuan.


Penyiasatan bermula


Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 malam hari yang sama tetapi pada masa itu tidak mempunyai sebarang gambaran mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi.


Pihak polis pada mulanya berangapan ia hanya kejadian ular sawa membelit mangsa dan tidak begitu yakin sebahagian badannya ditelan walaupun sudah dimaklumkan abang mangsa.


Dalam kegelapan malam itu pasukan lima anggota polis bersama Seng Guan dan seorang penduduk kampung pergi ke tempat kejadian, mereka menggunakan lampu picit dan bersenjatakan M16. Kesemua mereka melakukan pencarian di sekitar bangsal itu, tidak lama kemudian semua orang seolah-olah tergamam apabila menyaksikan kerakusan cubaan ular sawa itu menelan mangsa.


Tanpa membuang masa seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan untuk membunuh ular itu bagi menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun Heng Chuan didapati meninggal dunia di tempat kejadian akibat terlalu lama dijerut dengan kuat.


Mayat mangsa dihantarkan ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat. Manakala ular sawa itu dibawa ke pondok polis Tenang Stesen.



Seorang anggota polis yang menyertai operasi ketika itu, Lans Koperal Razib Ujang, berusia 30 tahun menggambarkan bunyi ular sawa itu ketika hendak menelan mangsa amat menggerunkan. Ular itu berbunyi seperti menyedut kemudian kedengaran bunyi seolah-olah ia menghembuskan nafasnya. Pada masa yang sama ular itu menggeleng-geleng kepalanya seperti mahu memastikan kepala dan badan lelaki itu masuk ke dalam mulutnya. 


Saiz ular sawa itu berukuran lilit 53.34 sentimeter, seberat 140 kilogram dan panjang tujuh meter. Kejadian itu turut menakutkan penduduk di sekitar Tenang Stesen dan Redong terutama penoreh getah yang risaukan keselamatan mereka kerana beranggapan pasangan ular yang ma.ti dibu.nuh itu akan keluar mencari temannya, terutama di dalam paya dan semak berhampiran kebun getah tempat mereka menoreh. 


Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat Celescoriano Razond ketika mengulas tindakan agresif ular sawa menyerang manusia menegaskan ada beberapa faktor ular sawa qkqn bertindak terhadap manusia, terutama kerana lapar atau diganggu.


Mangsa yang ternampak ular yang terlalu besar akan terkejut dan mungkim boleh pengsan. Jika pengsan atau terjatuh ia akan memudahkan ular untuk menyerang. Ular sawa biasanya mengambil masa untuk membelit mangsanya. Ini bermaknq sesorang itu masih mempunyai masa untuk melepaskan diri tetapi bergantung kepada kekuatan dan semangatnya. 


Kejadian ular sawa membelit manusia amat jarang dilaporkan tetapi pernah berlaku di Kuala Krai Kelantan pada 1985 apabila mangsa ditemui ma.ti dalam keadaan tulangnya patah dijerut reptilia itu tetapi ular berkenaan melarikan diri.


Menurut info dari Jabatan Perhilitan tengkorak dan kulit ular sawa yang membaham E Heng Chuan masih disimpan di Institut Biodiversiti (IBD) Jabatan Perhilitan yang terletak di Lanchang Pahang. 


Tragedi yang berlaku ini secara tidak langsung memberi pengalaman pahit kepada penduduk Segamat kerana risau akan keselamatan mereka dan khuatir peristiwa tersebut akan berulang kembali.

Post a Comment

0 Comments