Terkilan seorang ibu, ditinggalkan di rumah kebajikan, kini seperti rindu tidak berpenghujung

 


Penantian tidak berpenghujung. Itu yang dirasai penghuni pusat jagaan warga emas yang saban hari menanti kunjungan insan tersayang. Namun, harapan itu ibarat hanya mimpi kerana ada dalam kalangan mereka sudah lama terputus hubungan dengan keluarga.


Manakala, sebahagian lagi tidak pernah menerima kunjungan dan dihubungi ahli keluarga atau waris untuk bertanya khabar sejak hari pertama menjejakkan kaki ke pusat jagaan warga emas.


Kerinduan itu tidak pernah padam sebaliknya masih menebal lebih-lebih lagi menjelang kedatangan Hari Raya Aidilfitri.


'Mak rindu anak, cucu'



"Apa khabar anak-anak mak, jemputlah mak di sini, mak rindu dekat cucu-cucu mak," itu antara kata-kata Mak Ani (bukan nama sebenar) yang berusia 71 tahun kepada dua anaknya.


Mak Ani adalah antara 18 penghuni rumah jagaan warga emas dikendalikan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di sini.


Mak Ani yang tinggal di situ sejak awal tahun ini meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana terpaksa menyambut 1 Syawal bersama penghuni lain yang senasib dengannya.


"Kalau boleh hari raya nak jumpa keluarga, tapi mak cik tak tahu dapat berjumpa mereka atau tidak.


"Bila puasa dan raya seorang diri di sini rasa sedih sebab nak sangat balik rumah.


"Mak cik kalau boleh nak duduk dengan keluarga beraya dengan mereka semua," katanya sudah lama tidak berjumpa dengan anak dan cucunya.


Menurut Mak Ani, dia menjadi penghuni dan berlindung di pusat jagaan warga emas itu apabila adik kandungnya menghantarnya ke situ.


Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama adik perempuannya di Lembah Klang dan kemungkinan tidak mampu untuk terus menjaga kebajikan Mak Ani, adiknya mengambil keputusan menghantarnya ke Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah.


"Tak tahu sebenarnya kenapa dihantar ke sini, syukur mak cik tiada sebarang penyakit serius.


"Alhamdulillah tak ada kencing manis, hanya selalu lenguh badan saja, memandangkan mak cik sudah pun tua," katanya.


Walaupun dihimpit perasaan rindu dengan keluarga namun Mak Ani melahirkan rasa kesyukuran kerana masih mempunyai rakan lain berkongsi kisah manis dan pahit di rumah kebajikan ini.


Setiap malam hiba teringat anak


"Sampai ke hari ini, saya masih teringatkan kenangan bersama anak dan bila malam akan menangis kerana memikirkan entah bila dapat bertemu semula dengan mereka," luah Pak Mat (bukan nama sebenar), salah seorang penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di sini.


Pak Mat, 66 memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalamannya yang kini bertemankan penghuni dan kakitangan pengurusan pusat jagaan warga emas berkenaan.


Katanya, dia tinggal di pusat jagaan warga emas itu sejak lebih dua tahun lalu selepas dihantar pengurusan hospital.


Menurut Pak Mat, jika ada pilihan, dia mahu menghabiskan sisa hidup bersama anak dan cucu namun akur apabila ditakdirkan menjadi penghuni pusat jagaan di usia senja.


Pak Mat yang memberitahu dia mempunyai dua anak tinggal sendirian selepas berpisah dengan isteri dan tidak pernah bertemu dengan mereka selepas dimasukkan ke hospital akibat kencing manis," katanya ketika ditemui.


Pak Mat berkata, agak lama juga dia ditahan di wad hospital dan akhirnya dihantar ke pusat jagaan warga emas bagi memberi laluan kepada pesakit lain.


"Saya terima dihantar ke sini (pusat jagaan warga emas), kerana tiada pilihan memandangkan hanya pusat ini boleh menerima golongan emas seperti saya.


"Anak-anak mungkin tidak tahu saya dihantar ke sini. Lagipun, mereka sudah berkeluarga dan saya enggan menambah beban mereka," katanya


Jauh di sudut hati, Pak Mat mengakui rindu pada anak dan tiga cucunya terutama menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.


Namun, Pak Mat tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memendam perasaan itu kerana tidak tahu bila dan ketika anaknya akan kunjung tiba.


"Memang menitis air mata saya apabila mengenangkan nasib diri.


"Saya tidak tahu sampai bila saya di sini, hingga akhir hayat atau sebaliknya tetapi tetap berharap dapat bertemu anak dan cucu sebelum menutup mata," katanya.

Post a Comment

0 Comments