Terkini: Datuk Seri Ahmad Maslan Tidak Mengaku Bersalah Atas Dua Pertuduhan!

 


Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.


Ahmad,55, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya pada sebutan kali pertama di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.


Sebelum ini, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.


Namun Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonan Ahmad agar kes tersebut dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar kemudian memohon agar jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan serahan pasport kepada mahkamah seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen pada sebelum ini dikekalkan.


Peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad memaklumkan pihaknya tidak membantah perkara berkenaan.


Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan agar jumlah jaminan dikekalkan.


Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun tahun depan dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos dan 22- 25 Ogos 2022 untuk perbicaraan kes itu.


Dijangka 10 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan.


Post a Comment

0 Comments